Keutamaan Orang Berilmu

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Dari Abu Darda “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat besar.” (HR Ibnu Majah No: 219) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

  1. Orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.
  2. Orang yang berada di majlis ilmu untuk menuntut ilmu, akan sentiasa dinaungi sayap Malaikat dan didoakan agar dicucuri rahmat.
  3. Orang yang berada di majlis ilmu untuk tujuan menuntut ilmu, nescaya akan didoakan keampunan oleh penghuni langit dan bumi termasuk ikan yang ada didalam air.
  4. Keutamaan orang yang berilmu berbanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama dengan semua bintang yang ada (seorang yang berilmu itu umpama bulan yang bersinar dan menyinari cahaya, sedangkan ahli ibadah umpama cahaya daripada semua bintang-bintang).
  5. Para ulama (ilmuan) adalah pewaris para Nabi kerana para Nabi mewariskan ilmu bukan harta (harta boleh habis sedangkan ilmu sentiasa berkembang).
  6. Orang yang mencari dan mempelajari ilmu bermakna ia telah mengambil bahagian yang sangat besar daripda harta yang diwariskan oleh para Nabi.

Marilah kita berusaha sentiasa terus belajar bagi mendalami ilmu. Jadikanlah diri kita orang yang bermaklumat bukan hanya pak turut. Semoga dengan cahaya ilmu, akan menjadi penyuluh hidup dan mempermudahkan kita jalan ke syurga.

Semoga 2019 ini menjadikan kita orang yang cerdik dan bijaksana kerana sentiasa belajar untuk menjadi orang yang berilmu

Cara halau syaitan

SYAITAN AKAN LARI DARI RUMAH YANG DIBACAKAN SURAH AL-BAQARAH

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu, bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

“Janganlah jadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya Surah al-Baqarah”.(Riwayat Muslim)

Penuntut Ilmu Didampingi Malaikat

Dari Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan.” (HR Ibnu Majah No: 222) Status: Hasan Sahih

عَنْ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ الْمُرَادِيَّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Dari Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan.” (HR Ibnu Majah No: 222) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

  1. Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan ke atas setiap Muslim
  2. Setiap Muslim yang keluar dari rumah untuk menuntut ilmu akan sentiasa dinaungi para Malaikat.
  3. Menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada golongan pelajar di peringkat sekolah mahupun Institut Pengajian Tinggi, malah setiap masa, tempat dan usia. Allah mengangkat darjat orang yang berilmu:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Rasulullah mengajar kita berdoa agar mendapat ilmu bermanfaat

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Dari Ummu Salamah berkata, “Selepas salam dalam solat subuh Nabi SAW mengucapkan: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima (Ibn Majah No 915) Status: Sahih

Marilah kita memulakan azam tahun baru 2019 ini untuk sentiasa menambah ilmu. Semoga dengan ilmu yang bermanfaat, kita menjadi warganegara Malaysia yang “celik” “bijak” dan “cerdik” untuk menyumbang membangunkan Malaysia menjadi Negara Rahmah.

Ucapkan Jazakallahu khairan

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Dari Usamah bin Zaid RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan “Jazaakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” (HR. Tirmidzi No:1958) Status Hadis: Hassan

Pengajaran:

  1. Antara akhlak seorang Muslim apabila menerima kebaikan seperti pemberian atau hadiah, sewajarnya dibalas kebaikan dengan yang setimpal.
  2. Jika kita tidak mampu memberi balasan yang setimpal, berilah ucapan terima kasih kepada penyumbang sebagai satu dari cara kita bersyukur.
  3. Ucapan “terima kasih” yang terbaik diungkapkan ialah kalimah “Jazakallahu khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Kalimat ini lebih bernilai kerana mengandungi doa di dalamnya.

Jazakallahu khairan pada yang setia membaca 1 hari 1 hadis pada tahun 2018 yang berakhir hari ini. Semoga tahun 2019 lebih bermakna buat kita.

Azan dan jawaban azan

1. Hadis dari Abdullah bin Amr, Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila kamu mendengar azan, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkannya, kemudian selawat bagiku. Sesiapa mengucapkan selawat bagiku satu kali, Allah memberinya selamat sepuluh kali. Dan setelah itu mohon juga kepada Allah wasilah bagiku, kerana ia adalah sebuah tempat di syurga yang hanya layak bagi salah seorang di antara hamba-hamba Allah, sedangkan aku berharap, akulah orang yang beruntung memperolehinya. Maka sesiapa memohonkan wasilah kepada Allah bagiku, pastilah ia berhak mendapat syafaatku.” (Riwayat Imam Muslim).

2. Menjawab dan menyahut seruan azan amat dituntut dalam Islam, sehingga Rasulullah ﷺ memberi amaran: “Sekiranya dituangkan cairan timah panas ke dalam telinga seseorang itu adalah lebih baik baginya daripada ia mendengar azan tetapi tidak menjawab dan menyahutnya.” (Riwayat Abu Hurairah r.a.)

3. Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila azan dilaungkan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut lintang-pukang sehingga tidak mendengar suara azan dan apabila selesai azan, dia datang semula hingga apabila dibacakan iqamah untuk solat dia akan lari lagi, sehinggalah sempurna iqamah dibaca, lalu dia akan datang lagi mengganggu dan menimbulkan rasa was-was dalam diri, membisikkan kepadanya: Ingatkan itu dan ini, sesuatu yang tidak terlintas sebelum itu, menyebabkan seseorang itu tidak sedar berapa rakaat ia solat.”(Hadis riwayat Abu Hurairah).

Kredit:Majlis Ilmu

Busuknya mengumpat

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ ‏”‏ مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا ‏”‏

Dari ‘Aisyah RA dia berkata : Aku berkata kepada Nabi SAW : Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia (‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari benda-benda keduniaan).” (Riwayat Abu Daud No: 4875) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

  1. Mengikut Imam Ghazali, mengumpat itu ialah engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, samada kekurangan pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya hatta pakaiannya, rumahnya atau haiwannya’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)
  2. Mengumpat boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain, walau sekecil mana pun perkara itu, ia dikira mengumpat.
  3. Cukuplah hadis ini menerangkan betapa buruknya mengumpat. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah RA hanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah RA itu rendah, maka ia cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya.
  4. Berkata al-Nawawi: Makna ‘tercampurlah ia’ dalam hadis di atas ialah air itu bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan mengumpat itu.
  5. Ramai pengguna laman sosial hari ini sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja menulis seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh figura yang tidak digemari tanpa disedari perilaku tersebut sebahagian dari cemuhan dan umpatan yang ditegah agama. Sama ada melalui pelbagai posting juga gambar yang dimuat naik serta yang di forward.
  6. Moga kelak kita di akhirat, tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang berkata:

يَٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِي جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّخِرِينَ ٥٦

“Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan” [al-Zumar: 56].

HUKUM MAKAN DAN MINUM SAMBIL BERDIRI

“Hukum makan dan minum sambil berdiri adalah makruh tanzihi. Mengambil kira hadis yang melarang, kami menasihati agar kita mengelak dari makan dan minum sambil berdiri semampu mungkin. Makan dan minum secara duduk merupakan satu adab islam yang perlu dipelihara.”

“Hukum makan dan minum sambil berdiri adalah makruh tanzihi. Mengambil kira hadis yang melarang, kami menasihati agar kita mengelak dari makan dan minum sambil berdiri semampu mungkin. Makan dan minum secara duduk merupakan satu adab islam yang perlu dipelihara.”

Rujuk Sumber Asal : http://bit.ly/mknbrdiri
Album Infografik : http://bit.ly/albumphf