Posted on

Mengingati Neraka

Mengingati Neraka

عن النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول
أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ” فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى لَوْ كَانَ فِي مَقَامِي هَذَا سَمِعَهُ أَهْلُ السُّوقِ وَحَتَّى سَقَطَتْ خَمِيصَةٌ كَانَتْ عَلَيْهِ عِنْدَ رِجْلَيْهِ

Daripada Nu’man bin Basyir RA katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dengan berkata: “Aku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka, Aku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka.” Sentiasalah baginda mengulanginya sehingga seandainya baginda berada di kedudukan aku ini, orang-orang yang berada di (hujung) pasar akan mendengarnya. (baginda mengulangi ungkapan tersebut) sehingga kain baginda yang berada di atas bahu terjatuh ke kaki baginda tanpa disedari.” (HR Tirmizi No: 5687) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Neraka adalah suatu tempat yang menggerunkan. Kawasannya bersangatan dalam. Azab yang disediakan di dalamnya berbentuk kepanasan yang melampau dan membakar. Cemeti-cemetinya diperbuatan daripada besi.

2. Nabi SAW sering memberikan peringatan tentang neraka. Bersungguhnya baginda dalam memberi peringatan itu sehingga baginda meninggikan suara dan mengulang beberapa kali.

3. Kita diperintahkan untuk sentiasa mengingati hari pembalasan. Seperti pesan saidina Umar:

أَكْثِرُوا ذِكْرَ النَّارِ فَإِنَّ حَرَّهَا شَدِيدٌ وَإِنَّ قَعْرَهَا بَعِيدٌ وَإِنَّ مَقَامِعَهَا حَدِيدٌ

“Perbanyakkanlah mengingati neraka. Sesungguhnya kepanasannya bersangatan, lantainya amat dalam dan cemeti-cemetinya adalah besi.”

4. Dalam berdakwah, hendaklah digabungkan unsur-unsur memberi khabar gembira tentang syurga dan khabar ancaman dengan neraka. Agar ada dorongan melakukan kebaikan kerana mengharapkan syurga dan berusaha menjauhi dosa kerana gerunkan azab neraka.

Advertisements
Posted on

Berpada Membuat Perbandingan

Berpada Membuat Perbandingan

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اُنْظُرُوْا إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلاَ تَنْظُرُوْا إِلَى مَنْ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوْا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda; lihatlah kepada orang-orang yang lebih rendah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat kepada orang-orang yang berada di atas kamu, kerana yang demikian itu lebih patut bagi kamu, supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah anugerahkan kepada kamu.” (HR Sahih Bukhari No: 6490) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1. Jangan kita melihat orang kaya kerana kita akan kecewa dan cemburu tapi lihatlah orang yang susah dari kita maka kita akan bersyukur.

2. Jangan kita melihat orang yang lebih berpangkat dari kita, nescaya kita akan menjadi tertekan dan kecewa tapi lihatlah orang yang dibawah kita maka kita akan bersyukur.

3. Jangan kita melihat orang yang terkenal kerana orang terkenal orang akan melayan mereka lebih dari kita orang yang tidak dikenali tapi lihatlah orang seperti kita dan dibawah kita kerana kita bebas untuk melakukan apa sahaja (perkara yang baik-baik) tanpa diganggu oleh orang kerana kita tidak dikenali maka kita akan bersyukur.

4. Berpadalah untuk kita membuat perbandingan kerana jika tersilap membuat perbandingan maka hati kita akan rosak akibat sakit hati, cemburu, iri hati, kecewa dan seterusnya kita akan menjadi tertekan. Kita akan mula rasa nak marah-marah dan tidak boleh fokus. Jika ia berlaku kembali lah kepada Allah. Firman Allah:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. (Al-Baqarah:152)

5. Al Munawi mengatakan, “Jika seseorang melihat orang di atasnya (dalam masalah harta dan dunia), dia akan menganggap kecil nikmat Allah yang ada pada dirinya dan dia selalu ingin mendapatkan yang lebih. Cara mengobati penyakit semacam ini, hendaklah seseorang melihat orang yang berada di bawahnya (dalam masalah harta dan dunia). Dengan melakukan begitu, seseorang akan redha dan bersyukur, juga rasa tamaknya (terhadap harta dan dunia) akan berkurang. Jika seseorang sering memandang orang yang berada di atasnya, dia akan mengingkari dan tidak puas terhadap nikmat Allah yang diberikan padanya. Namun, jika dia mengalihkan pandangannya kepada orang di bawahnya, hal ini akan membuatnya redha dan bersyukur atas nikmat Allah padanya.”

6. Dalam masalah agama dan akhirat, hendaklah seseorang melihat orang yang lebih dari dirinya seumpama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan orang-orang Soleh.

Posted on

Dosa Paling Besar

Dosa Paling Besar

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ قَالَ أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ قُلْتُ إِنَّ ذَلِكَ لَعَظِيمٌ قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ قَالَ وَأَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ تَخَافُ أَنْ يَطْعَمَ مَعَكَ قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ قَالَ أَنْ تُزَانِيَ حَلِيلَةَ جَارِكَ

Dari Abdullah RA dia berkata; Aku bertanya kepada Nabi SAW; Wahai Rasulullah, dosa apakah yang paling besar di sisi Allah? Baginda menjawab; ‘Bila kamu menyekutukan Allah, padahal dialah yang menciptakanmu. Aku berkata; Sesungguhnya itu adalah dosa besar.’ Aku bertanya lagi; ‘Setelah itu apa? Baginda menjawab; Jika engkau membunuh anak sendiri kerana takut ia makan bersama kamu (menyebabkan kamu kelaparan). Aku bertanya lagi; setelah itu apa? ‘ baginda menjawab; ‘Berzina dengan isteri tetanggamu.’ (HR Bukhari No: 4117) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW menjelaskan kepada sahabat mengenai dosa yang paling besar:

1. Mempersekutukan Allah (syirik). Syirik merupakan dosa dan jenayah akidah yang paling besar disisi Allah.

2. Membunuh anak kerana takut berlaku kepapaan. Membunuh manusia lain adalah dilarang melainkan dengan jalan yang dibenarkan syarak, lebih-lebih lagi membunuh anak kerana kemiskinan. Allah yang menjamin dan menentukan rezeki kepada setiap makhluk bukan manusia.

3. Berzina dengan isteri jiran. Zina adalah perbuatan keji dan kesannya amat buruk kepada manusia. Lebih-lebih lagi apabila perbuatan zina dilakukan ke atas isteri jiran tetakala sepatutnya diberikan perlindungan dan penghormatan kepada mereka.

Posted on

Nikmat Kemanisan Iman

Nikmat Kemanisan Iman

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ مَنْ كَانَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَمَنْ أَحَبَّ عَبْدًا لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَمَنْ يَكْرَهُ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِي النَّارِ

Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa melaksanakan ketiga-tiganya nescaya ia akan mendapat kemanisan iman: Orang yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya kepada yang lain dari selain keduanya, orang yang mencintai orang lain kerana Allah semata-mata dan orang yang benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah melepaskannya daripada belenggu kekufuran sama dengan bencinya jika dilempar ke neraka”. (HR Bukhari No: 20) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim perlu berusaha mendapat kemanisan iman dengan membenarkan kecintaannya kepada Allah dan Rasul melalui hati, mengakui dengan lisan dan diterjemahkan melalui amalan seharian.

2. Tiga perkara yang perlu dilaksanakan seorang Muslim untuk mendapat kemanisan iman:

a. Mencintai Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada yang lain. Ianya dilakukan dengan melaksanakan perintah dan menjauhi larangan dengan bersungguh-sungguh.

b. Mencintai dan mengasihi orang Islam yang lain kerana Allah semata-mata. Berusaha menjaga kewajipan ukhuwah sama seperti menjaga kewajipan solat dan puasa.

c. Benci untuk kembali kepada kekufuran selepas beriman seperti bencinya jika dia dilempar ke neraka.

3. Beriman kepada Allah dan Rasul merupakan asas paling penting dalam kehidupan seorang Muslim.

4. Islam adalah agama perpaduan. Menjadi kewajipan setiap Muslim mewujudkan suasana mahabbah, kasih sayang serta saling tolong menolong dalam suasana rahmah serta menjauhi permusuhan.

5. Islam menyeru umatnya agar menjaga iman dan menjauhi perkara dosa dan maksiat yang boleh menghumbankan ke neraka.

Posted on

Nasihati Kaum Wanita Dengan Baik

Nasihati Kaum Wanita Dengan Baik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ

Dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Berilah nasihat kepada perempuan wasiat yang baik-baik. Sesungguhnya mereka itu diciptakan dari tulang rusuk (sesungguhnya tulang rusuk itu bengkok di bahagian atasnya), jika engkau cuba untuk meluruskannya maka dia akan patah namun jika engkau biarkan maka dia akan tetap bengkok. Oleh itu berilah nasihat dan wasiat yang baik kepada perempuan. (HR Bukhari No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW menyarankan agar kita sentiasa memberikan bimbingan dan nasihat kepada kaum wanita yang pada lazimnya wanita ini bergantung dan memerlukan kepada bimbingan kaum lelaki.

2. Kaum lelaki disarankan agar memberikan bimbingan kepada kaum wanita sama ada isteri, anak perempuan ataupun orang lain dengan penuh hikmah ini kerana kebanyakan wanita mudah tersinggung dan memerlukan kepada kehalusan budi dan sentuhan.

3. Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isteri yang derhaka, namun hendaklah dimulai dengan menasihatinya dengan baik, jika masih enggan menerima nasihat hendaklah dijauhi dari tempat tidur, jika masih berdegil maka dibenarkan memukulnya ditempat yang diharuskan oleh syara dengan tujuan untuk mendidik bukan mencederakannya. Firman Allah:

وَٱلَّتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِي ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّ فَإِنۡ أَطَعۡنَكُمۡ فَلَا تَبۡغُواْ عَلَيۡهِنَّ سَبِيلًاۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيّٗا كَبِيرٗا

“…. dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar” (an-Nisa: 34)

4. Kaum lelaki adalah pemimpin kepada wanita dan bertanggungjawab membimbing dan menasihati mereka dengan baik. Jangan sampai diakhirat lelaki diseksa kerana kecuaian membimbing isteri dan anaknya.

5. Kita dilarang menyakiti isteri dengan apa juga cara serta dicegah mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka.

Posted on

Hanya Allah Mengetahui Yang Ghaib

Hanya Allah Mengetahui Yang Ghaib

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَفَاتِيحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الْأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي الْمَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ وَلَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ

Dari Ibn Umar radliyallahu’anhuma dari Nabi saw, baginda bersabda: “Kunci perkara ghaib ada lima; tidak seorangpun mengetahuinya melainkan Allah, iaitu tidak seorangpun akan mengetahui apa yang dikandung oleh rahim wanita kecuali Allah. Tidak seorang pun mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok kecuali Allah. Tidak seorangpun akan mengetahui bila turun hujan kecuali Allah. Tidak seorangpun mengetahui di bumi mana dia akan meninggal dunia selain Allah, dan tidak seorang pun yang mengetahui bila berlakunya kiamat kecuali Allah.” (HR Bukhari No: 6831) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sehebat mana ilmu yang ada pada manusia dengan teknologi yang dicipta, tidak dapat menentukan secara pasti dan mutlak bila berlakunya percantuman benih (air mani) juga penentuan jantina lelaki atau perempuan di dalam rahim. Namun usaha dan ikhtiar menggunakan kepakaran para doktor serta peralatan moden tidaklah dilarang.

2. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan, namun kita diperintahkan untuk berusaha dan berikhtiar serta berbuat persediaan sebaiknya.

3. Manusia juga tidak mengetahui secara tepat bila dan dimana hujan akan turun namun Islam tidak menghalang penggunaan peralatan yang mampu mengesan peredaran awan yang mengandungi hujan dan menjangkakan turunnya hujan.

4. Setiap yang hidup akan menemui kematian, namun kita tidak mengetahui bila dan dimana kematian setiap orang. Apa yang penting ialah amal dan kerja yang solleh sebagai persiapan menghadapi kematian perlu sentiasa dilakukan.

5. Manusia juga tidak mengetahui bila akan berlakunya kiamat. Yang lebih penting kita meyakini bahawa diakhirat nanti tempat membalas segala amal manusia. Kesiap sediaan dan kesungguhan melakukan amal solleh sentiasa dituntut setiap masa sebagai bekalan di sana nanti.

6. Haram dan boleh merosakkan akidah bagi umat Islam yang pergi mendapatkan khidmat ahli nujum, tukang telek untuk mengetahui tentang sesuatu perkara seperti di atas serta mempercayainya.

7. Menjadi kewajipan Muslim berusaha dan berikhtiar serta bertawakal terhadap sesuatu.

Posted on

Pelaku Dosa Mukmin VS Pelaku Maksiat

Pelaku Dosa Mukmin VS Pelaku Maksiat

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ فِي أَصْلِ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ وَقَعَ عَلَى أَنْفِهِ قَالَ بِهِ هَكَذَا فَطَارَ

Dari Rasulullah SAW baginda bersabda, Sesungguhnya seorang Mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di kaki sebuah gunung, dia khawatir gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orang yang durhaka melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dia mengusirnya dengan tangannya –begini-, maka lalat itu terbang. [HR. Tirmidzi, No: 2497) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Mukmin setiap dia melihat dirinya banyak melalaikan kewajiban dan melakukan larangan, dia khawatir dosa-dosa itu akan menyebabkan siksa Allah kepadanya.

2. Orang beriman sentiasa bimbang akibat perbuatan dosa yang dilakukan, akan sentiasa merasa seolah-olah gunung akan menghempapnya pada bila-bila masa.

3. Orang Mukmin, akan selalu takut (kepada siksa Allah) dan sentiasa bermurâqabah (merasai Allah mengawasinya). Dia menganggap kecil amal solehnya dan khawatir terhadap amal buruknya walaupun yang kecil [Tuhfatul Ahwadzi, no. 2497]

4. Ibnu Abi Jamrah rahimahullah berkata, “Rasa bimbang dan takut dengan dosa sebabnya adalah, kerana hati seorang Mukmin itu diberi cahaya. Apabila dia melihat pada dirinya ada sesuatu yang membimbangkan hatinya yang diberi cahaya, maka hal itu menjadi berat baginya [Tuhfatul Ahwadzi, no. 2497]

5. Orang yang durhaka (pelaku maksiat) melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dia hanya mengusirnya / menepis dengan tangannya (tidak menganggap ia sebagai suatu penghalang)

Jadilah orang beriman yang menganggap dosa walaupun kecil namun seolah-olah gunung akan menghempapnya.

Orang yang durhaka menganggap remeh sesuatu dosa yang dilakukan.

#dailyhadis #dailyreminder #hadis

Posted on

Setiap Kebaikan Adalah Sedekah

Setiap Kebaikan Adalah Sedekah

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ وَإِنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ وَأَنْ تُفْرِغَ مِنْ دَلْوِكَ فِي إِنَاءِ أَخِيكَ

Dari Jabir bin Abdullah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu menjumpai saudaramu dengan wajah yang menyenangkan. Dan kamu menuangkan air dari baldimu ke dalam bejana milik saudaramu.” (HR Tirmizi No: 1893) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Setiap kebaikan yang dilakukan walau sekecil mana ia adalah sedekah dan mendatangkan pahala

2. Sedekah mencakupi aspek harta, tenaga, usaha dan, tindakan yang telus dan ikhlas dalam usaha melebarkan manfaat buat diri, masyarakat dan makhluk alam yang lain.

3. Antara bentuk kebaikan apabila seseorang berwajah ceria dan memberikan senyuman kepada sahabat yang ditemui.

4. Menolong orang lain dengan menuangkan air dari bekas miliknya ke dalam bekas milik saudaranya, itu juga sedekah

Lakukanlah kebaikan semampu kita walaupun kecil. Moga ia menjadi pahala diakhirat.

Posted on

Pengadu Domba Tidak Masuk Syurga

Pengadu Domba Tidak Masuk Syurga

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

Dari Hudzaifah RA berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba’.” (HR Muslim No: 151) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim perlu memperlihatkan akhlak mulia dan saling mengasihi.

2. Muslim dilarang menjadi pengadu domba, penghasut dan berperanan mencerai beraikan hubungan ukhuwah sesama Muslim.

3. Tidak akan masuk syurga orang yang menjadi pemfitnah dan pengadu domba.

Jadilah kita orang yang menyembunyikan aib saudaranya, bukan pengadu domba. Berusahalah mengeratkan hubungan ukhuwah sesama kita.

Posted on

Larangan Memburukan Orang Lain

Larangan Memburukan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada seseorang yang berkata; ‘Celakalah manusia’, maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka.” (HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.

2. Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.

3. Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif.

4. Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.

5. Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

6. Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka.

7. Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.

Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.