Rukun solat

Rukun Solat 13 perkara
Marilah kita mengenalinya
Qalbi, Qawli dan Fi’li dilaksana
Supaya menjadi sah solat kita

Pertama niat untuk bersolat
Lintaskan di hati empunya tempat
Qasad, Ta’arudh, Ta’ ayun disatu sepakat
Kerana Allah semua matlamat

Kedua jika mampu hendaklah berdiri
Lurus badan dan tegakkan kaki
Bersiap siaga dan tumpukan diri
Hanya kepada Allah kami kembali

Takbiratul ihram rukun ketiga
Allahu Akhbar adalah lafaznya
Beserta niat, kedengaran di telinga
Pebesarkan Allah, pekecilkan kita

Keempat Al Fatihah wajib dibaca
Ummul Kitab surah pembuka
Hendaklah betul lafaz dan tajwidnya
Syariat dan hakikat tergabung bersama

Kelima rukuk bongkokkan badan
Merendahkan diri kepada Tuhan
Hanya padaNya segala puji-pujian
Akan dipatuh suruhan dan larangan

Keenam Ikhtidal berdiri semula
Allah mendengar siapa memujiNya
Dialah Maha Adil Maha Bijaksana
Mengatur kita serta keseluruhannya

Ketujuh sujud ke bawah menyentuh dahi
Terasa kehebatanNya hinanya diri
Hanya kepada Allah hamba mengabdi
Engkaulah mencipta dan mengurus kami

Duduk antara dua sujud rukun kelapan
Disunat iftirash melebar menenangkan
Kepada Allah diletak seluruh harapan
Berdoa KepadaNya dengan kehambaan

Duduk bagi tahiyyat akhir rukun kesembilan
Tanda hampir tiba ke pengakhiran
Disunat tawarruk dan diatas paha dua tangan
Bersedia melafaz doa beserta pujian

Kesepuluh tahiyyat akhir mesti dibaca
Kepada Allah segenap puji dan doa
Selamat sejahtera sekalian Nabi dan hamba
Kalimah syahadah kan dipegang sentiasa

Kesebelas selawat ke atas Nabi SAW dibaca
Allah kurnia rahmat dan berkat kepada baginda
Peyampai risalah Tuhan dan menasihati kita
Menjadi penutup sekalian Nabi dan RasulNya

Keduabelas memberi salam pertama
Sejahtera dan rahmat Allah kepada kita
Perbuatan keji dan mungkar dibuang semua
Kan membawa kedamaian ke seluruh dunia

Ketigabelas tertib mengikut susunan
Mengikut yang mana dahulu, mana kemudian
Hamba kan patuh mengikut peraturan
Jika tersilap, kembali membuat pembetulan

Ada rukun memerlukan tuma’ninah
Wajiblah mengaji supaya sah
Hendaklah dikerja dengan ubudiyyah
Moga diterima segala amal ibadah

[Syekh Zahir al-hikam]

Advertisements

Author: Muhamad Aarif

-Driver - Chameleon - Peacock -

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.